Filipina dijangka berdepan La Nina selepas fenomena El Nino berakhir.
MANILA: Filipina mengumumkan penamatan secara rasmi fenomena El Nino di negaranya, kata Pentadbiran Perkhidmatan Geofizik dan Astronomi Atmosfera (Pagasa) hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Pegawai Pagasa, Nathaniel Servando berkata, keadaan di Pasifik tropika kembali pada peralihan El Nino Southern Oscillation (ENSO) kepada neutral, sekali gus menamatkan cuaca kemarau di banyak kawasan seluruh negara.
Servando berkata, terdapat ’69 peratus kemungkinan’ peralihan daripada ENSO-neutral kepada La Nina menjelang Julai hingga September ini.
“Melalui perkembangan ini, nasihat akhir untuk El Nino (2023-2024) dikeluarkan dan Sistem Amaran ENSO Pagasa kini diturunkan kepada tidak aktif (ENSO-neutral) manakala Pengawasan La Nina kekal berkuat kuasa,” katanya.
Di tengah-tengah monsun barat daya, Servando berkata, kesan El Nino seperti suhu permukaan yang lebih panas daripada biasa dan taburan hujan di bawah normal mungkin masih berterusan di beberapa kawasan negara itu.
Fenomena El Nino biasanya berlaku setiap dua hingga tujuh tahun dan berlanjutan antara sembilan hingga 12 bulan, termasuk pada awal 2024.
Ia dijangka memberikan kesan lebih ketara apabila intensitinya mencapai kemuncak dengan negara akan mengalami cuaca panas dan kering berpanjangan.


































