Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif (dua kanan) semasa melawat Masjid Sembulan di Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Liputan telekomunikasi dan internet di kawasan-kawasan yang sukar mendapat liputan termasuk sekolah di pedalaman, sedang giat dipertingkatkan dalam menjayakan Dasar Pendidikan Digital.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga Exco Pendidikan Negeri, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif berkata, di peringkat negeri, kerajaan dalam proses memasang 300 peranti satelit Starlink pada tahun ini.
Katanya, daripada jumlah itu, lebih 200 peranti telah pun dipasang di kawasan yang sukar mendapat liputan telekomunikasi dan internet.
“Di samping itu, kerajaan juga sedang melaksana projek titik kehadiran atau Point of Presence (PoP) di kawasan sekolah di Sabah,” katanya semasa lawatan ke Masjid Sembulan, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah kerajaan Sabah dalam membantu merealisasikan Dasar Pendidikan Digital.
Menurut Dr. Mohd. Arifin, di bawah Program Jalinan Digital Negara (Jendela) fasa satu, pembinaan menara sedang dalam pelaksanaan.
Katanya, semasa pertemuan bersama Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil baru-baru ini juga menyatakan mahu lebih banyak pembinaan menara telekomunikasi dilakukan pada tahun ini.
“Apabila ini berjalan dengan baik, kita akan dapat memudahkan sistem perhubungan melalui internet di kawasan luar bandar. Ketika ini, liputan internet kita sudah mencapai 90 peratus.
“Namun, kita perlu menara yang mempunyai lebih banyak penyedia telekomunikasi kerana menara sedia ada hanya mempunyai satu penyedia telekomunikasi.
“Misalnya, jika penyedia telekomunikasi di menara itu adalah Maxis maka, liputan internet bagi penyedia telekomunikasi yang lain seperti Celcom akan bermasalah,” katanya.
Jelas beliau, dalam usaha meningkatkan liputan internet, faktor kawasan berbukit bukau di Sabah dan kawasan titik buta juga perlu diambil kira bagi memastikan manfaat yang menyeluruh kepada semua pengguna.
































