Leong Jun Hao menewaskan bintang No. 3 dunia, Jonatan Christie pada pusingan pertama Terbuka Indonesia di Istora Senayan, Jakarta, Indonesia.
PETALING JAYA: Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao melakar kejutan sensasi pada kejohanan berstatus Super 1,000, selepas mengejutkan bintang No. 3 dunia, Jonatan Christie pada pusingan pertama Terbuka Indonesia di Istora Senayan, Jakarta, Indonesia.
Menurut Utusan Malaysia, Jun Hao yang menghuni ranking ke-32 dunia membenam wakil tuan rumah, Jonatan 21-13, 16-21, 21-12 dalam aksi yang berlanjutan selama lebih sejam.
Kejutan tersebut bukanlah kali pertama dilakukan anak jati Kuala Lumpur itu kerana minggu lalu dia turut mengejutkan bintang No. 7 dunia, Anthony Sinisuka Ginting juga dari Indonesia pada peringkat 16 terbaik di Terbuka Singapura.
Pada pusingan kedua Jun Hao bakal berdepan pemain No. 11 dunia, Chou Tien Chen dari Taiwan.
Jun Hao berkata, walaupun dia berjaya menewaskan Jonatan, tetapi, jurang kualiti permainan antara dirinya dan bintang handalan Indonesia itu masih ada.
“Bagi saya, tahap dia (Jonatan) masih ada satu atau dua tahap lagi di hadapan saya, jadi, untuk mengejar standard Jonatan saya perlu konsisten supaya lebih dekat jurang,” katanya kepada Spotv.
Turut mara ke peringkat seterusnya, beregu lelaki, Goh Tze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang menewaskan pasangan Kanada, Adam Dong-Nyl Yakura 21-6, 21-7, manakala, beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menundukkan Koceila Mammeri-Youcef Sabri Medel dari Algeria 21-9, 21-15.
Sementara itu, dua lagi wakil Malaysia dalam saingan beregu wanita serta beregu campuran iaitu Vivian Hoo-Lim Chiew Sien dan Yap Roy King-Valeree Siow tumpas kepada lawan masing-masing pada pusingan pertama.




























