Armizan Mohd. Ali
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menubuhkan Pasukan Rundingan Khas Berkaitan Aduan Kenderaan Bermotor bagi meningkatkan perlindungan pengguna berkaitan isu berkenaan berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, penubuhan pasukan itu merupakan strategi interim sebelum kerangka perundangan baharu dimuktamadkan bagi memperkukuhkan hak pengguna.
Beliau berkata, proses Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) melalui kerjasama strategik dengan Bank Negara juga diperkukuhkan dalam usaha tersebut.
“Strategi interim ini merupakan intervensi oleh kerajaan untuk membantu pengguna apabila tuntutan awal mereka dengan pemain industri kurang berjaya dan tidak dapat diselesaikan,” katanya selepas merasmikan penutup Simposium Kepenggunaan Malaysia 2024 berkaitan ‘Lemon Law’ di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 557 kes membabitkan kereta baharu difailkan di TTPM dengan 523 kes telah selesai manakala 34 kes masih belum selesai sejak tahun 2019 hingga kini.
Selain itu, katanya, TTPM turut menerima 1,201 kes membabitjan kereta terpakai dengan 1,142 kes telah selesai.
Dalam pada itu, Armizan memberitahu, pihaknya akan membentang akta baharu atau meminda undang-undang sedia ada berkait ‘Lemon Law’ di Parlimen seawal penggal pertama tahun depan.
Untuk itu, katanya, pakar perunding dilantik dalam menjalankan kajian pewujudan perundangan berkaitan bermula bulan ini hingga September iaitu sebahagian inisiatif untuk melaksanakan reformasi undang-undang bagi mewujudkan kerangka perundangan pengguna yang lebih komprehensif sejajar dengan tuntutan semasa.
“Di Malaysia, peruntukan perundangan bercirikan ‘Lemon Law’ berkaitan hak tebus rugi pengguna terhadap pembekal dan pengilang untuk barangan yang tidak mematuhi gerenti termaktub dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) dibawah kawal selia KPDN.
“Selain daripda Akta 599, beberapa perundangan lain seperti Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Sewa Beli 1967 turut mempunyai peruntukan undang-undang yang mempunyai komponen ‘Lemon Law’,” katanya.
































