Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Sektor kritikal seperti kesihatan, farmaseutikal dan infrastruktur perlu diutamakan dalam pelaburan bagi memastikan kesejahteraan yang kondusif ekoran negara menuju ke penuaan aktif.
Ini selepas negara dijangka beralih dari negara menua ke negara tua dalam 23 tahun akan datang, di mana daripada keseluruhan populasinya, sebanyak 14 peratus adalah mereka yang berumur 65 tahun ke atas.
Selepas itu, negara akan mencapai status super-aged pula dalam masa 14 tahun selepas tempoh tersebut dengan 21 peratus di atas umur 65 tahun.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan terhadap sektor kritikal itu perlu dilakukan.
Menurut beliau, melalui sumber yang diperuntukkan ke dalam sektor tersebut akan mampu meletakkan negara bagi memanfaatkan potensi pasaran yang berkembang pesat dengan nilai anggaran sebanyak AS$15 trilion.
“Pelaburan sedemikian bukan hanya menjanjikan pulangan besar malah sejajar komitmen Malaysia memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup populasi menua, selain memupuk pertumbuhan ekonomi mampan untuk negara,” katanya dalam ucap tama Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2024.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu berkata, beliau berharap penglibatan lebih banyak daripada sektor swasta dalam membangunkan produk dan solusi serta tidak ketinggalan dalam ‘ekonomi perak’
Jelasnya, untuk bersedia berhadapan negara menua memerlukan kerjasama semua pihak untuk meningkatkan tahap kesejahteraan warga emas di Malaysia.
“Syarikat berkaitan kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) menerajui pelaburan dalam usaha niaga membangunkan ‘ekonomi perak’ di Malaysia,” jelasnya.
Tambahnya, beliau berharap melalui ISWC 2024 semua penggubal dasar, kapen industri, ahli akademik dan rakyat dapat terlibat bagi menjawab persoalan mengenai bagaimana kita dapat membina dunia yang lebih baik serta menjamin kesejahteraan persaraan warga emas.
“Masa tidak memihak kepada kita. Malaysia hanya ada 19 tahun sebelum kita mencapai status negara tua, perubahan perlu dilakukan sekarang,” katanya.






























