Tangkap layar seorang lelaki melarikan sebuah kereta jenis Honda City di sebuah stesen minyak di Semambu di Kuantan, Pahang.
KUANTAN: Seorang akauntan wanita berusia 38 tahun berdepan detik cemas apabila kereta miliknya dilarikan seorang lelaki di tempat letak kenderaan di sebuah stesen minyak di Semambu di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.10 petang itu, ibu mangsa yang berada dalam kereta jenis Honda City itu turut sama dilarikan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, bagaimana ibu mangsa yang berusia 66 tahun itu ditinggalkan kira-kira 400 meter daripada lokasi kejadian.
“Hasil siasatan mendapati mangsa meletakkan kereta miliknya di kawasan letak kereta berhampiran tandas Shell. Emak mangsa yang selesai ke tandas masuk ke dalam kereta dan mangsa turun untuk pergi ke tandas dengan meninggalkan kereta dalam keadaan enjin hidup kerana emak mangsa berada dalam kereta.
“Apabila mangsa berjalan hendak ke tandas mangsa mendengar emaknya menjerit meminta tolong terus pengadu lihat keretanya telah bergerak dalam keadaan laju dan emak pengadu tidak sempat untuk turun daripada kereta tersebut.
“Emak mangsa diturunkan tidak jauh dari tempat kejadian di tepi jalan lebih kurang 400 meter dari tempat kejadian dan emak pengadu dalam keadaan selamat,” katanya di sini hari ini.
Tambah Wan Mohd. Zahari lagi, anggaran kerugian dialami mangsa sekitar RM94,000 apabila telefon bimbit dan peranti smart tag turut dilarikan dalam kejadian terbabit.
Dalam pada itu, semalam tular video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 55 saat memaparkan kejadian tersebut di kongsi menerusi aplikasi WhatsApp.
Wan Mohd. Zahari berkata, hasil siasatan juga mendapati suspek merupakan seorang lelaki Melayu menaiki motosikal jenis Honda EX-5 yang didapati motosikal curi dengan nombor pendaftaran palsu.
“Motosikal yang ditinggalkan suspek telah dibawa balik oleh Pasukan Lejang D4 Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang untuk tindakan selanjutnya.
“Kes diklasifikasi di bawah seksyen 379A Kanun Keseksaan. Polis sedang mengesan suspek dan hebahan kepada bilik gerakan sudah dibuat berkenaan kehilangan kereta terbabit,” katanya.




























