Wong Kah Woh menyampaikan sijil kepada penerima pada Majlis Konvokesyen Persijilan Kemahiran Malaysia Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Tahun 2024 di Putrajaya.
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang melaksanakan 50 projek pembinaan bangunan tambahan di sekolah-sekolah di seluruh negara bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang dijangka siap pada 2027.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, KPM menjangkakan kira-kira 1,925 murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) menerima manfaat daripada projek-projek yang diluluskan itu.
“Bagi memastikan MBPK menerima pendidikan yang kondusif, KPM terus berusaha menambah baik ruang pembelajaran melalui ubah suai dan naik taraf kelas dan sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen Persijilan Kemahiran Malaysia Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Tahun 2024 di sini hari ini.
Kah Woh berkata, menerusi peluasan PPKI pada sesi 2024, seramai 1,078 MBPK memperoleh manfaat di seluruh negara melibatkan sebanyak 149 sekolah dengan 154 kelas.
Jelasnya, KPM mahu memastikan semua MBPK mempunyai ruang dan peluang untuk mendapatkan pendidikan berkualiti tinggi yang relevan dengan keperluan mereka.
“Ruang dan peluang untuk mendapatkan pendidikan berkualiti perlu untuk memastikan MBPK terus cemerlang dalam aspek akademik, kokurikulum dan kemahiran,” ujarnya.
Tambah beliau, dalam perancangan jangka panjang melalui Rancangan Malaysia Ke-12, semua sekolah rendah dan menengah baharu yang dibina mengambil kira keperluan PPKI dengan penyediaan sebanyak enam bilik darjah bagi sekolah rendah dan lima bilik darjah bagi sekolah menengah.
“Sebanyak 44 buah sekolah melibatkan 288 kelas dijangka memberi manfaat kepada 1,995 MBPK,” katanya.




























