Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong (kiri) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah (kanan) dalam pelancaran model X50 2024 di Subang Jaya semalam.
PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional, Proton menyasarkan jualan sehingga 2,500 unit sebulan bagi model Proton X50 2024 yang baru dilancarkan pada harga atas jalan tanpa insurans bermula daripada RM86,300.
Empat varian ditawarkan dan Proton mengekalkan harga seperti sebelum ini bermula RM86,300 untuk varian Standard; Executive (RM93,300); Premium (RM101,800) serta TGDi Flagship (RM113,300).
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, meskipun terdapat penurunan berbanding sasaran sebelum ini sebanyak 3,000 unit sebulan, namun pengenalan model terbaharu ini dijangka mengekalkan momentum jualan model kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-B terlaris di Malaysia itu.
“Walaupun kelihatan sama dari luaran, tetapi Proton X50 2024 sebenarnya telah mengalami 20 peningkatan membabitkan ciri bising, getaran dan kekasaran (NVH) yang mengurangkan kesan gegaran dan bunyi di dalam kereta.
“Proton membelanjakan hampir RM6,000 bagi kos penambahbaikan untuk setiap unit namun kami memutuskan untuk menyerap kos berkenaan dan tidak menaikkan harga jualan supaya tidak membebankan pengguna,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Proton X50 2024 di sini.
Model X50 2024 itu bakal dieksport ke luar negara dan ia begitu popular di pasaran Brunei, Afrika Selatan dan Pakistan dengan ciri rekaan yang ‘sporty’.
Model ini masih kekal dengan enjin 1.5 liter TGDI pengecas turbo dengan kuasa 177PS dan tork 255Nm menerusi kotak gear dwi-klac tujuh kelajuan.
Gabungan ini membolehkan ia mencapai masa pecutan 0-100km/j dalam hanya 7.9 saat.
Elemen keselesaan lain seperti sistem pempropesan baharu 33 peratus lebih pantas menerusi ‘dwi-core’ 4GB RAM dan storan lebih besar 64GB untuk sistem ‘head unit’ infotainmen yang kini ditawarkan dengan saiz 10.3 inci.
Dari segi keselamatan ia menyediakan enam beg udara SRS, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), lapan Sistem Bantuan Pemandu Peringkat 2 (ADAS) dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).
Ia menyediakan kombinasi ideal keselamatan dan kemudahan dengan Kamera 360 Definisi Tinggi baharu yang memaparkan imej yang jelas walaupun dalam keadaan cahaya rendah, untuk memudahkan parkir.
Sekiranya pemandu masih berasa tidak yakin, terdapat fungsi Auto Park Assist untuk membantu menyelesaikan tugas terbabit.
Apabila memberikan isyarat, paparan pandangan 3D persekitaran akan muncul untuk mengurangkan titik buta bagi penukaran lorong yang lebih selamat, dan ciri keselamatan ini berfungsi sehingga kelajuan lebuh raya 150km/j.
Sebanyak 5,000 tempahan terawal sebelum 31 Julai 2024 bakal menikmati diskaun sehingga RM14,500.




























