Tangkap layar yang diambil daripada satu rakaman video tular menunjukkan berlakunya satu pergaduhan menggunakan senjata di sebuah kedai makan di Jelutong, George Town, Pulau Pinang.
GEORGE TOWN : Polis menahan dua lelaki yang juga merupakan bapa dan anak saudara susulan satu kes pergaduhan menggunakan senjata di sebuah kedai makan di Jelutong, Sabtu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid berkata, lelaki berusia 55 tahun itu dan anak saudaranya berusia 30-an yang juga merupakan peniaga di kedai makan itu akan dituduh di mahkamah di sini, esok.
“Siasatan awal mendapati, seorang lelaki yang merupakan bapa saudara kepada seorang peniaga telah menimbulkan kekacauan di situ dan ia turut menyebabkan anak saudaranya (peniaga) bertindak memukul mangsa. Dua lagi orang awam kemudian cuba meleraikan pergaduhan tersebut,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Razlam, susulan kejadian itu, polis menahan empat individu di lokasi kejadian, namun, dua daripada mereka iaitu orang awam berkenaan telah dibebaskan pada hari yang sama.
“Polis turut merampas senjata yang digunakan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 160 Kanun Keseksaan,” katanya.
Mengulas lanjut, Razlam berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan.
































