HULU SELANGOR: Dua lelaki terbunuh selepas berbalas tembakan dengan anggota polis dalam kejadian di Hentian Tanjung Malim, Lebuh Raya Utara-Selatan di sini semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian tersebut berlaku pada pukul 11.42 malam apabila sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Perak mengekori sebuah kereta jenis Proton Waja warna kelabu yang mencurigakan.
“Menyedari diekori polis, kenderaan tersebut dipandu laju dan memasuki Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara sehingga ke Hentian Tanjung Malim,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kenderaan itu berjaya dipintas namun dua lelaki dalam kenreta tersebut bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah pihak polis.
”Pihak polis membalas tembakan sehingga keadaan selamat dan pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki di dalam kenderaan tersebut telah maut,” katanya.
Menurut Hussein, pemeriksaan lanjut mendapati mereka membabitkan dua lelaki tempatan yang mempunyai rekod lampau dan salah seorang mempunyai 22 rekod jenayah manakala seorang lagi masih tidak dikenal pasti identitinya.
Kata beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjaya 1960.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau hubungi ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-60641223,” katanya.


































