Syed Saleh Syed Abdul Rahman dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Tabung Haji Mekah, semalam.
MEKAH: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) tidak akan membantu sebarang pergerakan atau menyediakan kemudahan penginapan bagi mereka yang tidak mempunyai visa haji yang sah.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan notis peringatan kepada Ketua Rombongan Haji semua negara agar tidak berbuat demikian.
Katanya, tindakan itu juga dibuat sebagai langkah kawalan keselamatan ketat kerajaan Arab Saudi membendung penyalahgunaan visa semasa musim haji.
“Malah, kami turut diminta melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada individu yang melanggar peraturan haji.
“Penekanan daripada kerajaan Arab Saudi kepada pejabat semua Ketua Rombongan Haji itu belum pernah dibuat sebelum ini dengan peringatan begitu khusus. Turut diberi peringatan jika notis baharu itu tidak dipatuhi, ia akan memberi kesan terhadap operasi haji sesebuah negara,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Tabung Haji di sini semalam.
Katanya, notis itu merupakan mesej jelas dan perlu dilihat serius dalam isu membabitkan haji dari semua negara.
Dalam pada itu, Syed Saleh berkata, operasi telah mula dilaksanakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi sejak dua minggu lalu dengan tangkapan dilakukan terhadap mereka yang tiada visa atau permit haji yang sah.
“Kenderaan turut diperiksa termasuk bas yang dinaiki jemaah untuk pastikan hanya mereka yang mempunyai visa sah sahaja masuk ke Mekah.
“Malah orang tempatan atau mereka yang bekerja di Mekah juga perlu mempunyai permit sah untuk masuk ke sini,” katanya.
Tambah Syed Saleh, pihak berkuasa Arab Saudi turut menjalankan pemeriksaan di hotel-hotel penginapan dan laluan masjid serta tempat tertentu bagi mengesan jemaah tiada visa haji yang sah.

































