JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang menahan seorang bekas Datuk Bandar di negeri ini kerana disyaki menerima rasuah lebih RM1 juta.
Menurut Utusan Malaysia, sumber memberitahu, suspek berusia 63 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor kira-kira pukul 4 petang kelmarin.
Suspek disyaki menerima wang rasuah lebih RM1 juta daripada kontraktor-kontraktor sebagai balasan kerana telah meluluskan projek semasa menjawat jawatan berkenaan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
Kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009 dan suspek akan didakwa di mahkamah esok atas 12 pertuduhan.


































