Bryan Leong kini dalam usaha meraih slot secara merit untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.
PETALING JAYA: Perenang negara, Bryan Leong bakal membuat perhitungan terakhir bagi merebut tiket ke Sukan Olimpik Paris apabila dijadual beraksi di Kejohanan Terbuka Sepanyol pada bulan ini.
Menurut Utusan Malaysia, atlet berusia 21 tahun itu merupakan prospek utama untuk layak secara merit ke temasya tersebut berikutan kejayaannya memecahkan dua rekod kebangsaan serta memenangi gangsa di Perlumbaan Antarabangsa AP London, Rabu lalu.
“Secara keseluruhan, saya sangat bangga untuk terus meningkat dan mencapai sasaran baharu. Saya gembira dapat mencecah 23 saat (s) dalam acara 50 meter (m) gaya bebas dan hampir memecah masa 24s dalam acara 50m kuak kupu-kupu.
“Bagaimanapun, saya menyasarkan untuk meningkat dalam acara 100m kuak kupu-kupu kerana ia adalah acara kegemaran yang saya harap dapat melayakkan diri ke Sukan Olimpik.
“Saya kini akan mengalihkan perhatian kepada ujian pemilihan Sepanyol pada bulan ini,” katanya.
Pada kejohanan di London, Bryan memenangi gangsa menerusi acara 100m kuak kupu-kupu dalam masa 52.95s, emas dimenangi Daniel Gracik dari Republick Czech (51.87s) manakala juara Olimpik dua kali James Guy dari Britain meraih perak dengan catatan masa 52.59s.
Bryan yang akan beraksi di kejohanan dekat Mallorca, Sepanyol pada 18 hingga 22 Jun ini perlu membuat catatan masa sama ada 51.67s bagi Masa Kelayakan Olimpik (masa A) atau sekurang-kurangnya 51.93s untuk Masa Pertimbangan Olimpik (masa B) untuk ke Temasya Paris nanti.
Dua rekod yang dipecahkan Bryan di kejohanan dekat London menerusi acara 50m gaya bebas dengan catatan masa 22.91s pada acara saingan memadam catatan 23.07s yang diciptanya pada tahun lalu juga di Perlumbaan Antarabangsa AP London.
Dia kemudiannya memadamkan rekod kebangsaan acara 50m kuak kupu-kupu 24.14s yang dibuat oleh bekas perenang kebangsaan, Chan Jie apabila melakukan catatan masa 24.08s untuk menduduki tempat keempat pada final, Isnin lalu.


































