Anwar dan Hajiji tiba di majlis penutupan sambutan Pesta Kaamatan 2024 yang diadakan di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Penampang, hari imi.
PENAMPANG: Pakatan Harapan (PH) tetap setia bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor demi kestabilan politik di negeri itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini memudahkan kita menjaga kestabilan politik di negeri dan Persekutuan kerana kita di peringkat Persekutuan sangat baik sama ada PH, UMNO-Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan GRS.
“Itu parti-parti induk yang telah membantu menjamin kestabilan politik dan semua ini bermakna mewakili semua suku kaum yang utama serta semua agama. Jadi, tidak boleh sesiapa pertikai hak kita dalam Kerajaan Persekutuan, kerajaan madani untuk melindungi dan mempertahankan hak semua kaum,” katanya.
Anwar yang juga Pengerusi PH berkata demikian semasa berucap dalam majlis penutup Pesta Kaamatan 2024 di sini, hari ini.
Menurutnya, negara telah ketinggalan dalam banyak bidang kerana percaturan politik tidak berkesudahan.
Kata beliau, Malaysia satu-satunya negara yang mempunyai empat Perdana Menteri dalam tempoh lima tahun.
“Mudah-mudahan Perdana Menteri ini kekal sampai pilihan raya sebab kesannya kepada rakyat. Kita bergaduh soal budaya, agama dan negeri tapi rakyat dipinggirkan.
“Keperluan mempertahankan politik yang stabil dan pemimpin-pemimpin bertanggungjawab yang mengelak daripada rasuah, yang elak daripada mengukuhkan kekayaan untuk diri dan keluarga mereka dan jaga kepentingan rakyat, itu keutamaan.
“Itu sebab kita tidak tolak ansur sama sekali kalau ada kes-kes libatkan pemimpin Persekutuan atau negeri menggunakan kuasa untuk mengambil kesempatan. Kita akan pastikan siasatan dan tindakan tegas diambil untuk selamatkan negeri dan negara kita,” katanya.
Ditanya mengenai isu pelantikan Jawatankusa Komuniti Desa Madani (JKDM) di Sabah, Anwar berkata, beliau akan berbincang mengenai perkara itu dengan Hajiji untuk penyelesaian yang lebih baik.






























