Chow Kon Yeow
GEORGE TOWN : Kerajaan negeri meminta Kerajaan Pusat mengkaji semula sistem agihan cukai kepada negeri dengan memulangkan sekurang-kurangnya 20 peratus hasil cukai yang dikutip daripada Pulau Pinang kepada negeri itu semula.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sekiranya Kerajaan Pusat memulangkan semula hasil cukai dengan kadar yang dipohon itu, setiap tahun Pulau Pinang akan memperoleh sekurang-kurangnya RM1 billion hasil cukai dan ia boleh membantu merancakkan pembangunan di negeri berkenaan.
“Kita perlu kaji semula sistem pengagihan (cukai) kepada negeri-negeri dalam Persekutuan. Kalau boleh, kita minta daripada Pusat hasil cukai yang dikutip sekiranya dapat dipulangkan kepada negeri, agihan menerusi projek-projek itu lain ceritanya.
“Kita mohon 20 peratus hasil cukai dipulangkan balik kepada negeri, jadi setiap tahun kita akan ada RM1 bilion lebih (hasil agihan cukai),” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini kelmarin.
Kon Yeow (DAP-Padang Kota) menjawab soalan Gooi Hsiao Leung (PKR-Bukit Tengah) mengenai langkah yang akan diambil oleh kerajaan negeri untuk berkolaborasi dengan Kerajaan Pusat berhubung Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS).
Menurut beliau, berdasarkan maklumat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), sekurangnya-kurangnya RM7 bilion hingga RM8 bilion cukai dikutip dari Pulau Pinang setiap tahun.
“Kalau 20 peratus daripada jumlah cukai yang dikutip ini dipulangkan semula, sekurang-kurangnya RM1.68 bilion akan dipulangkan kepada negeri ini.
“Pemulangan semula hasil cukai kepada negeri akan memberi kita ruang yang besar untuk kendalikan Pulau Pinang.
“Itulah harapan kita. Dengan rancaknya bidang semi konduktor, kita pun dahagakan dana penting dari Pusat iaitu hasil cukai dipulangkan kepada negeri supaya kita dapat laksanakan projek dengan lebih berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri melalui InvestPenang sentiasa bergiat aktif dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk meningkatkan pelaburan yang strategik.
“Sebagai penanda aras bagi mengukur prestasi sektor semikonduktor, nilai Foreign Direct Investment (FDI)bagi sektor Elektrikal dan Electronik (E&E) akan diberi penekanan bagi negeri Pulau Pinang.
“Berdasarkan data yang diperoleh daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), nilai pelaburan FDI pembuatan yang diluluskan bagi sektor E&E pada 2023 adalah berjumlah RM53.3 bilion dan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai usaha untuk merancakkan sektor ini,” katanya.

































