PETALING JAYA: Salah faham arahan pergerakan mengalihkan kenderaan dipercayai punca seorang pemandu e-hailing didakwa diserang pengiring kepada rombongan kenamaan dalam kejadian di sebuah hotel di Brickfields dekat sini pagi Selasa.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya menerima satu laporan polis pada 1 petang Selasa oleb pengadu dikatakan telah diserang oleh seorang individu yang merupakan pengiring kepada rombongan kenamaan.
Katanya, kejadian tersebut berlaku disebabkan salah faham arahan pergerakan mengalihkan kenderaan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
“Bagaimanapun, pada 9.59 malam tadi (Selasa), pengadu membuat laporan polis kedua menyatakan telah menyelesaikan perkara yang berlaku secara baik serta tidak mahu memanjangkan kes,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini.
Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan seorang pemandu e-hailing yang didakwa dipukul pengawal pengiring orang kenamaan di sebuah hotel Selasa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain dilaporkan berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan.
“Kita masih menyiasat, setakat ini belum ada sebarang tangkapan. Pengadu dalam kes ini memang seorang orang kurang upaya (OKU),”katanya.
Difahamkan, seorang pemandu e-hailing membuat laporan polis selepas mendakwa dipukul pengawal peribadi ketika menunggu penumpang di sebuah hotel di Brickfields, Selasa.
Pemandu berusia 46 tahun itu mendakwa ditumbuk di kepala dan diminta untuk mengalihkan kenderaannnya.
Susulan itu, mangsa kemudian membuat laporan polis selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

































