Pengerusi PH Sabah Datuk Christina Liew (tengah) bersama para pemimpin PH Sabah.
KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah sebagai sebahagian daripada Kerajaan Sabah menyokong pendirian dan keputusan Kerajaan Sabah berhubung dengan tindakan mahkamah Persatuan Undang-undang Sabah (SLS).
Majlis Pimpinan PH Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, PH Sabah memahami dan menghormati sepenuhnya keputusan yang diambil oleh SLS dalam membawa isu 40% hak perlembagaan Sabah ke mahkamah dalam permohonan Semakan Kehakiman mereka.
“Pada 2022, PH Sabah juga telah mengambil tindakan mahkamah terhadap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah dengan memfailkan Saman Pemula menuntut 40% hak perlembagaan Sabah untuk dihormati dan dilaksanakan.
“PH Sabah kini telah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah bertekad untuk memastikan perkara ini diselesaikan melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan dan Jawatankuasa Teknikal (Jawatankuasa MA63) masing-masing diketuai oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri II.
“PH Sabah juga memandang positif dengan tindakan SLS yang terus didengar di mahkamah dan pada masa yang sama komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu MA63 melalui penubuhan Jawatankuasa MA63 dengan wakil daripada Kerajaan Sabah dan Sarawak dilantik ke jawatankuasa tersebut. Walapun dengan Pendekatan yang berbeza namun mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk memastikan hak perlembagaan Sabah dalam MA63 dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Gabungan Kerjasama Politik
Sementara itu, Majlis Pimpinan PH Sabah memaklumkan ia belum membincangkan sebarang persefahaman atau kemungkinan gabungan baru untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang.
“PH Sabah menyedari bahawa terdapat banyak laporan dan spekulasi berkenaan dengan rakan gabungan politik PH Sabah dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Sabah akan datang.
“Walau bagaimanapun, PH Sabah masih belum membincangkan sebarang persefahaman atau kemungkinan gabungan baru yang akan dibentuk untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang.
“Namun begitu, PH Sabah tetap kekal sebagai sebahagian daripada Kerajaan Negeri serta menyokong kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dan mahu melihat kerajaan ini mencapai tempoh penuh. PH Sabah menggesa agar semua pihak memberi tumpuan kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini di bawah Kerajaan Madani,” katanya.


































