LONDON: Mauricio Pochettino mengambil keputusan meninggalkan Chelsea selepas semusim mengendalikan kelab itu setelah mencapai keputusan bersama, menurut kelab Inggeris tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, The Blues menamatkan saingan liga di tempat keenam selepas berhempas pulas mencari kedudukan terbaik di akhir musim, namun terlepas ke saingan Liga Juara-Juara dan tanpa sebarang gelaran juara.
“Chelsea FC boleh mengesahkan pihak kelab dan Mauricio Pochettino telah mencapai kata sepakat berhubung perkara ini,” menurut Chelsea dalam satu kenyataan.
Sejak dua tahun dikuasai konsortium Amerika, LA Dodgers yang dimiliki Todd Boehly dan sebuah syarikat persendirian, Clearlake Capital, Chelsea telah membelanjakan lebih 1 bilion pound untuk membeli pemain-pemain baharu.
Pelaburan besar itu dibuat hanya untuk membeli pemain yang sedang meningkat naik dan Pochettino menjadikan alasan faktor pemain kurang berpengalaman di samping masalah kecederaan menyumbang kepada prestasi turun naik Chelsea.
Tewas 1-0 kepada Liverpool dalam final Piala Liga dan tewas kepada Manchester City pada separuh akhir Piala FA melenyapkan impian Chelsea, namun lima kemenangan berturut-turut di penghujung musim memberi harapan kepada The Blues untuk layak ke saingan Eropah musim depan.
Chelsea akan layak bersaing di Liga Europa sekiranya Manchester United tewas kepada Manchester City dalam perlawanan akhir Piala FA dan The Blues berpeluang ke Liga Konferens jika The Red Devils menewaskan juara Liga Perdana Inggeris itu.
“Terima kasih kepada pemilik Chelsea kerana memberi peluang kepada saya menjadi sebahagian daripada sejarah kelab ini. Kedudukan kelab ketika ini di atas landasan untuk bersaing dalam Liga Perdana dan di pentas Eropah selepas ini,” kata Pochettino.
Sementara itu, Daily Telegraph melaporkan, Pochettino dan Boehly telah bertemu dalam makan malam Jumaat lalu sebelum mengumumkan keputusan berundur, malah sebelum itu dia juga telah mengadakan rundingan dengan Pengarah Sukan Chelsea, Laurence Stewart dan Paul Winstanley.

































