PETALING JAYA: Marsha Milan menyusul jejak Bella Astillah apabila penyanyi itu dipilih mewakili negara untuk membuat persembahan di China.
Menurut Utusan Malaysia, pemilik nama sebenar Marsha Milan Londoh, 39, itu mengambil kesempatan tersebut mempromosikan budaya Sabah menerusi beberapa lagu etnik yang akan dipersembahkan nanti.
“Saya dirisik Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk membuat persembahan selama dua hari.
“Selain menjadi satu-satunya penyanyi Malaysia yang diundang, saya teruja kerana ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke negara itu,” katanya ketika ditemui sempena majlis pelancaran video muzik dan lagu Hening Rindu, di pejabat Warner Music Malaysia, semalam.
Bercerita lanjut, Marsha juga bakal mempersembahkan beberapa lagu popularnya sempena persembahan itu nanti.
“Antara yang akan saya ketengahkan semestinya lagu-lagu etnik Sabah serta beberapa lagu yang pernah dipertandingkan dalam Anugerah Juara Lagu (AJL),” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Marsha tampil dengan lagu terbaharu bertajuk Hening Rindu.
Lagu ciptaan Ikhwan Fattana dan Wan Salleh itu juga diangkat menjadi runut bunyi drama Aku Bukan Ustazah.
“Melodi Hening Rindu menangkap hati. Saya menyukainya dan terus bersetuju untuk berkolaborasi.
“Lagu dan video muzik ini sangat istimewa, sesuatu yang kita semua mungkin pernah rasa. Ia mengembalikan genre muzik balada tahun 90-an dengan sentuhan moden.
“Saya bangga kerana menjadi sebahagian daripada projek kreatif ini. Sebagai penyanyi, saya bertanggungjawab untuk memberi rasa dalam lagu berkenaan,” kongsinya.


































