Tangkap layar dakwaan seorang wanita mendakwa dirinya Imam Mahdi yang dimuat naik di laman sosial Facebook Jerantut Viral.
JERANTUT: Polis daerah ini sedang menyiasat dakwaan seorang wanita yang mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi seperti tular di laman sosial Facebook Jerantut Viral di sini hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad berkata, laman sosial itu memuat naik dakwaan wanita yang dikatakan bertugas sebagai guru di sebuah sekolah rendah di daerah ini mengaku dengan yakin sebagai Imam Mahdi.
Beliau berkata, difahamkan ibu kepada tiga orang anak tersebut tinggal berjauhan dengan suaminya yang bertugas di Kuala Lumpur.
“Makluman awal diperolehi, wanita berkenaan mempunyai masalah mental dan kita sedang menunggu maklum balas pihak hospital.
“Polis mengesahkan dakwaan wanita itu dimuat naik menerusi laman sosial Facebook Jerantut Viral dan sedang menyiasat perkara ini,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi laman sosial tersebut, wanita tersebut mendakwa dia dipilih oleh Allah SWT untuk membimbing umat Muhammad SAW dan menggelarkan dirinya sebagai mujaddid yang diamanahkan untuk menghentikan peperangan di Palestin.
Dakwa wanita itu, Allah telah pusing fakta mengatakan Imam Mahdi adalah seorang lelaki, tetapi hakikat sebenarnya perempuan.
Wanita berkenaan juga juga mengalu-alukan jika ada pihak mahu membuat laporan ke jabatan agama dan akan membuktikan kebenaran kata-katanya.


































