Saifuddin Nasution Ismail
PADANG BESAR: Kerajaan menerusi Jabatan Imigresen Malaysia sentiasa memantau keberadaan pelancong asing dari China dan India yang memasuki negara ini menerusi Pelan Liberalisasi Visa (PLV) dengan menggunakan data biometrik yang diambil sewaktu tiba di negara ini.
Pemantauan tersebut adalah susulan timbulnya kebimbangan dalam masyarakat berhubung pengecualian syarat kemasukan pelancong dari negara berkenaan menerusi PLV yang dikhuatiri akan disalah guna antaranya dengan menetap secara lebih masa.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan PLV adalah bertujuan bagi membangkitkan semula ekonomi negara ini menerusi sektor pelancongan dengan kehadiran pelancong dari dua negara terlibat.
“Meskipun kita boleh tarik pelabur, langkah itu akan makan masa untuk membuahkan hasilnya dan kita juga boleh mempermudahkan dan merancakkan sektor pelancongan dengan kelonggaran PLV.
“Januari tahun lalu sehingga Mac tahun ini, jumlah pelancong yang memasuki negara ini adalah sebanyak 40 juta, ini adalah rekod daripada Imigresen dan daripada jumlah itu 30.5 juta memasuki negara ini menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan 2 dan di Tambak Johor di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar,Johor Bahru,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian, di sini kelmarin.
PLV merupakan usaha kerajaan bagi memberikan kemudahan pengecualian visa kepada pelancong warga China dan India yang memasuki negara ini bermula pada 1 Disember tahun lalu hingga 31 Disember tahun ini.
Menerusi langkah itu, Jabatan Imigresen membenarkan warga dari dua negara berkenaan untuk keluar masuk dengan pelbagai lagi kemudahan lain.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, kemasukan pelancong dari dua negara itu akan memberi nilai tambah kepada ekonomi Malaysia terutama apabila mereka membelanjakan wang ketika bercuti di Malaysia.
“Jadi apabila dikatakan bahawa mereka ini masuk tetapi tidak keluar selepas itu, saya nak sebut di sini bahawa pelancong China yang masuk ke negara ini untuk tiga bulan pertama adalah sebanyak 950,000 tetapi yang ditahan atau tidak dibenarkan masuk ke negara ini disebabkan disenarai hitam kerana kesalahan imigresen dan sebagainya adalah sekitar 0.3 peratus sahaja daripada jumlah itu.
“Bermaksud di sini sekiranya, dia (pelancong China) ini mengikut peraturan maka kita akan benarkan masuk dan angka yang tidak dibenarkan masuk pun hanyalah sekitar 0.3 peratus sahaja,” katanya.
Tambahnya, walaupun pelaksanaan PIV memberi kemudahan kepada pelancong terlibat, kerajaan tidak akan sama sekali berkompromi khususnya dalam aspek keselamatan negara.
“PLV ini bermaksud pelancong China dan India yang memasuki negara ini tidak perlukan visa dan boleh berada di negara ini selama 30 hari.
“Jadi apabila didapati setelah 30 hari,mereka masih terus tinggal di negara ini, kita mempunyai rekod di mana kita boleh meneliti keberadaan mereka secara terperinci kerana apabila mereka tiba ke negara ini, mereka perlu mengisi ‘Malaysia Digital Arrival Card,” katanya.
































