JAKARTA: Indonesia melaporkan gangguan rangkaian komunikasi berasaskan satelit berikutan fenomena ribut solar yang melanda bumi hujung minggu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Badan Meteorologi, Kajian Iklim dan Geofizik (BMKG), Muhamad Syirojudin berkata, rangkaian satelit orbit Starlink milik ahli perniagaan Amerika Syarikat (AS), Elon Musk, turut mengalami masalah atau tidak disambungkan dengan baik akibat gangguan magnet bumi.
“Bagi Indonesia sendiri, kerana ia terletak di kawasan khatulistiwa, berlaku gangguan terhadap beberapa komunikasi berasaskan satelit.
“Kesan ribut ini untuk kawasan di latitud rendah adalah gangguan kepada rangkaian komunikasi seperti Starlink.
“Kami juga tidak disyorkan untuk menerbangkan dron semasa ribut magnetik,” jelasnya.
Muhamad berkata, data Pusat Ramalan Cuaca Angkasa Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) menunjukkan gangguan magnet bumi mencapai skala G4 pada Jumaat lalu sebelum dinaikkan ke skala G5 dalam tempoh 24 jam.
“Rangkaian sensor magnet bumi BMKG di seluruh Indonesia mengesan ribut magnet skala sederhana pada Sabtu lalu.
“Gangguan magnet bumi berpunca daripada letupan pada matahari yang berlaku antara 7 hingga 9 Mei yang mengakibatkan pembebasan tenaga pancaran dalam jumlah besar jisim korona.
“Berdasarkan hasil pemantauan BMKG daripada nilai indeks, ribut solar mencapai kemuncaknya di permukaan bumi pada Sabtu lalu kira-kira pukul 7 pagi (waktu tempatan),” katanya.


































