KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 1,944 kes tibi sehingga 4 Mei.
Ia merupakan sebahagian daripada 8,856 kes tibi direkodkan di seluruh negara.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, penyakit tibi juga merupakan beban penyakit utama di negara ini yang harus ditangani dan dihentikan penularannya.
Beliau juga mendedahkan sebanyak 79 peratus daripada kes malaria yang direkodkan di Malaysia pada tahun lalu disumbangkan oleh jangkitan malaria zoonotik.
Biarpun jangkitan malaria tempatan melibatkan manusia telah mencapai angka sifar sejak 2018 namun, jangkitan akibat bawaan vektor melalui jangkitan malaria zoonotik masih membebani Malaysia.
walaupun kejadian jangkitan malaria semakin berkurangan negara ini namun, rakyat tidak boleh berasa selesa dan mengambil sikap sambil lewa.
Jika dilihat kes yang direkodkan setakat 4 Mei lalu, sebanyak 120 kes malaria jangkitan manusia dan 683 kes jangkitan zoonotik direkodkan.
“Semua penduduk perlu memainkan peranan masing-masing bagi membendung jangkitan malaria termasuk mereka yang tinggal di kawasan pedalaman yang bekerja di hutan dan ladang-ladang.
“Mereka yang terlibat dalam aktiviti rekreasi berkaitan hutan perlu mengambil langkah-langkah pencegahan malaria dan cakna tentang maklumat pencegahan jangkitan malaria daripada Kementerian Kesihatan,” katanya semasa merasmikan sambutan Hari Malaria, Tibi dan Kusta Sedunia peringkat kebangsaan, di Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini.






























