BERLIN: Polis Jerman dilapor menyerbu dan menyita empat kereta super Bugatti Veyron edisi khas di Munich, awal minggu ini yang mempunyai kaitan siasatan ke atas skandal 1 Malaysia Development Bhd. (1MDB).
Menurut Utusan Malaysia, puluhan pegawai dan penyiasat dari bahagian jenayah kolar putih terlibat dalam serbuan berkenaan.
Secara khusus, empat kereta yang dirampas ialah Rembrandt, Black Bess, Jean-Pierre Wimille, dan Meo Constantini edisi Veyrons yang mana jenama itu dihasilkan hanya tiga buah setiap satu.
Jadi, secara keseluruhannya, Bugatti membina hanya 18 buah kereta dalam siri ‘Les Legendes de Bugatti’ ini yang mana ia berasaskan model Veyron Grand Sport Vitesse.
Apabila keluaran terbaharu, kereta itu bernilai sekitar AS$3 juta (RM14.3 juta) setiap satu.
Akhbar harian Jerman Bild yang pertama kali melaporkan cerita itu mendakwa pihak berkuasa tidak memberitahu siapa sebenarnya pemilik kereta ini.
Malah, jurucakap polis berkata, serbuan ini mendapat bantuan undang-undang daripada Pejabat Pendakwa Persekutuan Jerman.
“Atas sebab ini, malangnya saya tidak dapat memberikan anda sebarang maklumat lanjut,” kata jurucakap berkenaan.
Polis Malaysia dikatakan belum menerima maklumat tentang siasatan pihak berkuasa Jerman itu, menurut laporan media yang memetik Ketua Polis Negara Razarudin Husain.
Razarudin dilapor berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mungkin akan menyiasat perkara berkenaan.
































