Pemain Liverpool meraikan jaringan ketika berdepan West Ham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) malam tadi.
LONDON: Impian Liverpool untuk terus bersaing untuk mengejar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini semakin malap selepas terikat 2-2 dengan West Ham.
Menurut Utusan Malaysia, jaringan lewat Michail Antonio memberikan West Ham United satu mata berharga dan dalam masa yang sama menyebabkan skuad kendalian Jurgen Klopp berputih mata.
The Reds yang mengalami kekalahan 2-0 di tangan Everton pada Rabu lalu melepaskan gol awal apabila Jarrod Bowen meledak gol pertama West Ham pada minit ke-43.
Liverpool berjaya menyamakan kedudukan selepas tiga minit separuh masa kedua bermula menerusi Andrew Robertson sebelum gol sendiri penjaga gol Alphonse Areola meletakkan Reds di depan.
Bagaimanapun, Antonio memastikan tuan rumah mendapat satu mata apabila dia menyudahkan hantaran lintang Bowen menerusi tandukan padu pada minit ke-77.
Reds ketika ini menghuni tangga ketiga liga dengan 75, satu mata di belakang pasukan tangga kedua, Manchester City, yang kurang dua perlawanan.
































