Anggota polis mengangkat mayat seorang lelaki yang ditemukan terapung di Sungai Linggi berhampiran Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, Seremban kelmarin.
SEREMBAN: Satu mayat lelaki yang sudah reput ditemukan terapung di Sungai Linggi berhampiran Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, di sini tengah hari kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner, Mohamad Hatta Che Din berkata, mayat yang belum diketahui identiti itu ditemukan oleh orang awam yang sedang menjala ikan di situ.
“Orang awam tersebut terlihat biawak di atas mayat berkenaan dan kemudian terus membuat laporan polis. Setibanya anggota polis mendapati keadaan mayat sudah reput dan berbau.
“Berdasarkan keadaan mayat yang reput, dipercayai lelaki itu sudah meninggal dunia lebih 24 jam atau sekitar tiga hingga empat hari. Kami akan tunggu laporan post mortem untuk pastikan punca kematian.
“Identiti juga belum dapat dikenal pasti, tiada dokumen pengenalan diri ditemui, ia hanya dapat dipastikan menerusi forensik dan ujian cap jari. Hasil pemerhatian mayat mempunyai lukisan tatu di kedua belah tangan serta memakai seluar jeans ketika ditemukan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Mohamad Hatta dalam pada itu meminta orang ramai sekiranya terdapat kehilangan ahli keluarga untuk membuat laporan polis.
































