Eksport di kebanyakan negeri catat penurunan pada Mac lalu. – Gambar Hiasan
PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM244.5 bilion pada Mac lalu dengan eksport dan import masing-masing bernilai RM128.6 bilion dan RM115.8 bilion seperti yang dilaporkan dalam Statistik Eksport Import Mengikut Negeri Mac 2024.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport Malaysia pada Mac tahun ini bernilai RM128.6 bilion, menurun sebanyak 0.8 peratus atau RM1 bilion berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Katanya, penurunan itu dipengaruhi eksport yang lebih rendah di kebanyakan negeri iaitu Selangor (RM2.1 bilion), Labuan (RM1.6 bilion), Melaka (RM686.2 juta), Sabah (RM443.8 juta), Sarawak (RM260.9 juta), Pulau Pinang (RM129.8 juta), Negeri Sembilan (RM118.5 juta), Johor (RM44.6 juta) dan Perlis (RM27.0 juta).
“Walau bagaimanapun, nilai eksport meningkat di Perak sebanyak RM1.5 bilion, Kuala Lumpur (RM1.3 bilion), Terengganu (RM929.9 juta), Pahang (RM522.0 juta),Kedah (RM151.7 juta) dan Kelantan (RM36.2 juta),” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 32 peratus, diikuti Johor (20 peratus), Selangor (16.9 peratus), Sarawak (8.1 peratus) dan Kuala Lumpur (4.5 peratus).
Mengulas mengenai prestasi import mengikut negeri pula, beliau berkata, import pada Mac meningkat sebanyak RM12.9 bilion atau 12.5 peratus berbanding bulan yang sama pada 2023.
Beliau berkata, peningkatan import itu disebabkan import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu Johor (RM8.2 bilion), Melaka (RM1.6 bilion), Negeri Sembilan (RM1.2 bilion), Kuala Lumpur (RM1 bilion), Selangor (RM996.7 juta), Kedah (RM419.7 juta), Pahang (RM152.6 juta), Terengganu (RM92.1 juta), Kelantan (RM71 juta), Sabah (RM55.5 juta) dan Labuan (RM30.3 juta).
“Bagaimanapun, nilai import jatuh di Pulau Pinang sebanyak RM521.9 juta, Perak (RM393.8 juta), Sarawak (RM115.9 juta) dan Perlis (RM6.8 juta).
“Johor mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 27.9 peratus, diikuti Selangor (23.6 peratus), Pulau Pinang (19.2 peratus), Kuala Lumpur (7.5 peratus) dan Kedah (5.0 peratus),” ujarnya.
































