Pengadil Liga Malaysia (Liga M) giat menjalani latihan untuk mengendalikan video bantuan pengadil (VAR) menjelang sepak mula Liga M bulan depan.- Ihsan FAM
PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan video bantuan pengadil (VAR) bersedia untuk digunakan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/25 yang akan bermula 10 Mei depan.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram berkata, pihaknya ketika ini hanya menunggu kelulusan lesen kepada pengadil Liga M daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk menggunakan VAR.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata, seramai 22 pengadil ditauliahkan sebagai pengadil VAR, 20 penolong pengadil sebagai Assistant Video Assistant Referee (AVAR), sembilan pengadil sebagai Replay Operator (RO) dan lima individu dari Astro sebagai Replay Operator (RO).
Jelasnya, tambahan 17 penolong pengadil dipanggil untuk menyertai seminar VAR 2024 untuk membolehkan mereka dilantik sebagai penolong pengadil satu dan dua bagi perlawanan yang menggunakan teknologi berkenaan.
“FAM bersedia untuk VAR. Sekarang VAR kita ada instruktor dari FIFA dan dijangka sebelum 21 April, instruktor FIFA akan akses dan luluskan lesen VAR untuk pengadil kita.
“FAM juga akan membuat satu lagi kursus atau latihan VAR mungkin membabitkan 20 atau 30 pengadil. Apa yang kita harapkan dengan adanya VAR ini dapat mengurangkan kesilapan pengadil dalam membuat keputusan.
“VAR adalah untuk membantu pengadil, jadi kita kena gunakan dengan sebaiknya. Kalau ada beberapa insiden yang kurang pasti, mereka (pengadil) boleh gunakan VAR.
“Apabila saya hadir ke seminar atau kursus bersama mereka, saya selalu ingatkan bahawa ini adalah liga bola sepak profesional dan mereka perlu berhati-hati dalam membuat keputusan,” katanya kepada media selepas Majlis Makan Malam Pengadil FAM 2024, kelmarin.
Aksi Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 10 Mei depan bakal menjadi perlawanan pertama Liga M yang menggunakan VAR.
Selain itu, Sivasundaram berkata, FAM juga berharap lebih ramai pengadil Malaysia dapat terpilih ke kejohanan besar termasuk Piala Asia dan Piala Dunia seperti Muhammad Nazmi Nasaruddin bersama dua penolong pengadil, Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid yang mengadili perlawanan Piala Asia 2023.
“Untuk Piala Asia dan Piala Dunia, anda perlu ada lesen VAR untuk jadi pengadil. Jadi kita harap pengadil lain juga dapat lesen itu untuk mereka bekerja keras layak ke Piala Asia atau Piala Dunia.
“Memang harapan FAM sangat tinggi, jadi kita akan bekerja untuk itu,”ujarnya.
































