Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Kerajaan dijangka mengumumkan cadangan penambahbaikan termasuk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam pada perhimpunan 1 Mei ini bersempena dengan Hari Pekerja.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahbaikan kepada struktur gaji penjawat awam hampir dimuktamadkan dan akan dibawa kepada mesyuarat Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan.
Menurut beliau, kerajaan mengambil pendirian dan tanggungjawab tersebut untuk mengambil kira tekanan kos sara hidup yang dihadapi penjawat awam ketika ini terutamanya yang berpendapatan rendah.
“Saya ingin tegaskan komitmen Kerajaan untuk menyelesaikan usaha menambah baik struktur gaji penjawat awam yang dilaksanakan menerusi Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), disebalik ekonomi negara yang mencabar kesan ketidaktentuan geopolitik dunia.
“Semoga usaha ini menjadi motivasi buat penjawat awam untuk meningkatkan produktiviti dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” katanya melalui sebuah hantaran di media sosial.
Beliau memaklumkan perkara demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajisan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 3 Tahun 2024, hari ini bagi membincangkan secara lebih lanjut mengenai struktur gaji penjawat awam.
Terdahulu, Terdahulu, Menteri Kewangan itu menegaskan Kerajaan akan menyegerakan pelaksanaan SSPA bagi manfaat penjawat awam selepas ia tertangguh sebelum ini ekoran kedudukan kewangan negara yang dibebani hutang terdahulu.
Menurutnya, inisiatif itu tidak dapat dilaksanakan tahun lalu ekoran Kerajaan Perpaduan mewarisi kedudukan kewangan terdahulu yang tinggi iaitu sebanyak RM1.5 trilion dengan defisit sekitar 5.6 peratus.
Bagaimanapun, beliau berkata, iada sebab untuk kerajaan tidak melaksanakan kajian SSPA pada tahun ini selepas melihat prestasi penjawat awam.
Ini kerana, jelasnya, semangat kerja dalam kalangan penjawat awam dilaporkan meningkat menerusi pemberian insentif termasuk bayaran khas kepada kumpulan itu yang dibuat baru-baru ini.
































