PETALING JAYA: Pistol semi automatik jenis Walther P99 milik Ketua Polis Daerah (KPD) Lahad Datu, Sabah dipercayai berada dalam almari di bilik tidurnya sebelum senjata itu diambil anak perempuannya berusia 14 tahun.
Menurut Utusan Malaysia, satu sumber mendedahkan, senjata api itu diletakkan di dalam beg sebelum anak bongsu daripada empat beradik itu masuk ke bilik berkenaan.
“Mangsa disyaki masuk ke bilik sebelum mengambil senjata itu dan tertembak diri sendiri.
“Ketika kejadian, bapa mangsa berada di Kinabatangan, Sabah atas urusan perpindahan rumah kerana baru berpindah selepas dinaikkan pangkat,” katanya di sini, semalam.
Selain itu, kata sumber berkenaan, anak perempuan kepada OCPD itu didakwa sangat berminat dan bercita-cita mahu menjadi pegawai polis kerana suka menonton drama gerak khas.
“Disebabkan itu, mangsa juga dipercayai turut meminati untuk mengetahui mengenai senjata api,” jelasnya.
Dalam pada itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Shahurinain Jais ketika dihubungi berkata, siasatan menyeluruh masih dijalankan termasuk dari sudut prosedur operasi standard (SOP) kawalan dan pengendalian senjata api.
Katanya, keputusan siasatan sama ada remaja berkenaan berniat membunuh diri atau berlaku kecuaian dalam mengendalikan senjata api berkenaan masih dijalankan.
Beliah menambah, polis mengklasifikaskan kes sebagai kematian mengejut (SDR) kerana mengalami kecederaan teruk di dada kanan.
































