Enam kelab Liga Malaysia tersenarai antara pasukan yang menerima hukuman larangan pendaftaran pemain baharu dan sekatan perpindahan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
PETALING JAYA: Sebanyak enam kelab Liga Malaysia (Liga-M) tersenarai antara pasukan yang menerima hukuman larangan pendaftaran pemain baharu dan sekatan perpindahan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut Utusan Malaysia, berdasarkan semakan data rasmi di laman sesawang FIFA, kelab Liga-M yang dikenakan hukuman berkenaan ialah Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Kelantan FC, Melaka United, Perlis dan Sarawak United.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan FIFA juga menyaksikan kelab Liga-M menjadi pasukan paling banyak dari Asia Tenggara yang menerima hukuman FIFA berbanding negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.
Dalam kemaskini baru itu, pasukan yang masih aktif dalam saingan Liga Super Malaysia musim lepas seperti KL City FC telah digantung sejak 1 Februari 2024, KDA FC pada 4 Mac 2024 dan Kelantan FC pada 8 Mac 2024.
Difahamkan, hukuman berkanaan dikenakan kerana kegagalan mereka melunaskan tunggakan gaji pemain import selama beberapa bulan sejak tahun lepas sehingga menyebabkan pemain terlibat membuat laporan kepada badan induk bola sepak dunia itu.
Perkembangan itu sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan mengenai bagaimana pasukan seperti KDA FC dan KL City boleh menandatangani pemain baharu pada musim ini walaupun hukuman FIFA masih dikenakan.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan pihak First Instance Body (FIB) mengambil maklum tentang proses pembayaran yang telah dilakukan oleh dua pasukan ini dan bakal mengeluarkan kenyataan tidak lama lagi.
“Kelab sedang berusaha untuk membuat pembayaran. Sekiranya terdapat perbezaan, itu perlu dinilai atas beberapa faktor. Kita perlu semak sama ada perkara itu dalam atau di luar kontrak.”
“MFL bakal meneliti dokumen yang diterima selari dengan maklumat yang dinyatakan,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
































