KOTA BHARU: Seorang wanita yang ditahan selepas dipercayai menikam kekasihnya dengan menggunakan sebilah pisau ketika melakukan hubungan seks pada Khamis lalu mempunyai rekod jenayah lampau berkait kes dadah.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, wanita yang berusia 28 tahun itu pernah ditahan kerana terlibat dengan kes penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, suspek merupakan penagih dadah sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek yang berasal dari Sungai Tong, Setiu di Terengganu itu kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, seorang lelaki ditemukan mati selepas dipercayai ditikam oleh kekasihnya semasa hubungan intim dalam kejadian di Kuala Krai, dekat sini kelmarin.
Mayat lelaki berusia 45 tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring dan tidak dan sedarkan diri di hadapan tandas awam dekat Dataran Lemang, Manek Urai.
































