Anggota bomba memotong kenderaan dalam kejadian sebuah kereta dihempap pokok yang mengakibatkan pemandunya meninggal dunia dalam kejadian di Jalan Senawang-Paroi Taman Rashidah Utama, Seremban petang kelmarin.- Gambar/Ihsan Bomba
SEREMBAN: Seorang lelaki meninggal dunia selepas kenderaan yang dipandunya dihempap pokok tumbang di Jalan Senawang-Paroi, Taman Rashidah Utama, di sini, petang kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, sepasukan 17 anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampangan serta Senawang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 4.11 petang.
Menurutnya, sebatang pokok telah tumbang menghempap sebuah kereta jenis Perodua Viva yang melalui jalan tersebut.
“Mangsa iaitu seorang lelaki berusia 48 tahun telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.
“Kerja-kerja penyelamatan telah dilakukan oleh pusat keluaran operasi (PKO) dan seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita, di sini, kelmarin.
Ujar beliau lagi, operasi tamat pada pukul 5.10 petang dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) bagi proses bedah siasat.
































