Anwar Ibrahim ketika hadir Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga JPM di Putrajaya.
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui amat terkesan dengan isu rasuah dan salah guna kuasa melibatkan pasukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang berlaku di bahagian kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga negara menanggung kerugian hampir RM2 bilion.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, walaupun sesetengah orang meremehkan isu rasuah kerana ia dikatakan hanya membabitkan jabatan kecil di bawah JKDM, ia mengakibatkan nilai kerugian tinggi.
“Sehingga kini dengan mendapat maklumat daripada badan penguat kuasa termasuk SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), pimpinan dan pimpinan kanan penjawat awam, masih terhindar daripada masalah rasuah dan salah guna kuasa.
“Tetapi masih berlaku kecurangan yang bagi saya sangat mengesankan dan menyedihkan termasuk dalam Kastam iaitu satu jabatan di bawah pengawasan saya di Kementerian Kewangan (MOF),” katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.
Anwar berkata, negara boleh menyelamatkan puluhan bilion ringgit kalau penguatkuasaan bertindak tegas mengatasi penyeludupan dan ketirisan minyak diesel atau minyak masak yang diseleweng pihak tertentu.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 34 pegawai dan anggota JKDM yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan mengakibatkan kerugian negara sehingga RM2 bilion dalam tempoh dua tahun.
SPRM turut menahan pengarah Jabatan Kastam di Negeri Sembilan kerana didakwa menerima rasuah RM100,000 daripada sindiket untuk membolehkan mereka menyeludup barangan melalui pintu masuk laut negara.
































