Penyerang Arsenal, Gabriel Jesus (kiri) bersaing dengan pemain tengah Manchester City, Kevin De Bruyne dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Etihad.
MANCHESTER: Manchester City gagal memecah benteng kebal pertahanan Arsenal dalam saingan perebutan kedudukan puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila kedua-dua pasukan terikat 0-0 dalam aksi di Etihad, hari ini.
Sebaliknya, Liverpool menjadi pasukan paling bertuah apabila memintas kedua-dua seteru sengitnya itu untuk kembali merampas kedudukan pendahulu EPL selepas menewaskan Brighton 2-1, meletakkan Reds berkelebihan dua mata di depan Arsenal dan tiga mata mengatasi City dengan tinggal baki sembilan perlawanan lagi.
Menurut Utusan Malaysia, Arsenal sepatutnya berasa gembira kerana mereka berjaya menghalang anak-anak buah Pep Guardiola daripada menjaringkan gol di Etihad buat pertama kali dalam tempoh dua tahun walaupun Gunners terpaksa menerima hakikat rekod kemenangan lapan perlawanan berturut-turut dalam liga perdana musnah.
“Benteng pertahanan kami terbaik. Langkah seterusnya ialah memastikan jentera serangan beraksi lebih baik. Mereka (City) adalah pasukan terbaik dunia ketika ini, pengurus yang hebat dan kami perlu bersaing dengan mereka. Ini adalah cabaran kami,” kata pengendali Arsenal, Mikel Arteta.
Pada perlawanan itu, City memguasai 75 peratus kawalan bola tetapi gagal menembusi benteng lawan yang mempunyai rekod melepaskan bola gol paling sedikit dalam kancah liga perdana musim ini.
“Kami tidak banyak mencipta peluang tetapi penuh aksi menyerang. Tidak mudah untuk menembusi benteng mereka,” kata Guardiola.
Guardiola berkata, Liverpool mempunyai peluang terbaik untuk menjulang gelaran liga bersama musim terakhir Jurgen Klopp kali ini.
































