Laluan bagi projek TBR yang merentasi Pulau Borneo dengan laluan berwarna hijau merupakan projek fasa pertama dan warga jingga adalah fasa kedua.
PETALING JAYA: Syarikat dari Brunei, Brunergy Utama Sdn. Bhd. mengumumkan pelaksanaan projek rangkaian kereta api berkelajuan tinggi pertama, Trans Borneo Railway (TBR) sepanjang 1,620 kilometer (km) yang bakal menghubungkan Malaysia Timur, Brunei dan Kalimantan, Indonesia.
Menurut Utusan Malaysia, syarikat itu dalam laman sesawang rasminya dengan menyatakan, projek akan dibina dalam dua fasa dengan kereta api berkenaan berkelajuan 300 hingga 350 kilometer (km) sejam, manakala purata bagi setiap perjalanan akan memakan masa selama 30 minit.
Projek itu pertama kali dibentang kepada Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi Negara Brunei Darussalam pada 2022, sebelum diumum pada Jun 2023, selepas syarikat tersebut mengadakan beberapa siri lawatan kepada kementerian berkaitan di ketiga-tiga negara.
Menurut Brunergy, pengenalan projek berkenaan ke rantau ini akan meningkatkan interaksi manusia ke tahap yang mampan untuk 50 tahun akan datang tanpa banyak persaingan dan perubahan teknologi.
“Walaupun Borneo Malaysia dan Indonesia telah mengalami pembandaran berskala besar dalam beberapa dekad yang lalu, sebahagian besar penduduknya kekal terpisah dan tinggal dalam komuniti luar bandar yang kurang maju.
“Meskipun saiz dan potensi ekonominya melalui sumber semula jadi yang banyak, namun negeri-negeri di Pulau Borneo tidak berkongsi hubungan yang sama dengan pasaran global yang lebih luas berbanding kebanyakan wilayah jirannya,” katanya.
Projek TBR fasa pertama akan menghubungkan kuasa ekonomi di bandar-bandar pantai barat ke timur bermula di Pontianak, Kalimantan Barat dan berakhir di Kota Kinabalu, Sabah.
Pembinaan laluan dalam fasa pertama akan melibatkan bandar raya Kota Kinabalu-Kimanis/Papar-Beaufort-Sipitang-Lawas-Bangar-Limbang-Bukit Panggal-Miri-Bintulu-Sibu-Sri Aman-Kuching-Sambas-Singgawang-Mempawah-Pontianak.
Bagi fasa kedua projek itu akan memasuki wilayah Kalimantan Utara dan Timur untuk menghubungkan laluan utama dengan bandar terbesar Borneo, Samarinda dan kemudian bakal ibu negara Indonesia baharu, Nusantara.
Pembinaan bagi laluan berkenaan melibatkan stesen dari Bukit Panggal (di Brunei) ke Long Seridan-Ba’ Kelalan-Long Bawan-Malinau-Tanjung Selor-Tandjungredeb-Pengadan-Lubuk Tutung-Bontang-Samarinda-Balikpapan.

Brunergy yang diperbadankan pada 21 Oktober 2013 pada awalnya dikenali sebagai Mumin Energy (B) Sdn. Bhd. dan beroperasi dalam sektor minyak dan gas.
Setahun kemudian, pengasas syarikat, Danny Chong dan Khalid Abdul Mumin menyelaras semula misi syarikat dengan memberi tumpuan kepada sistem penghantaran pengangkutan massa untuk Brunei dan Malaysia, sekali gus menamakan semula syarikat itu pada 5 Ogos 2014 kepada Brunergy Utama (B) Sdn. Bhd.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam kenyataan berkata, cadangan pembinaan projek itu diyakini akan memberi impak baik kepada wilayah Borneo, memperkasa rangkaian masyarakat dan ekonomi.
“Ia sudah pasti akan memperkasakan pembangunan industri, perdagangan khususnya kawasan sempadan, sekali gus meningkatkan lagi sektor pelancongan dalam Wilayah Borneo,” katanya.
Timbalan Ketua Menteri III Shahelmey Yahya pula memberitahu, kerajaan Sabah belum menerima maklumat secara rasmi berhubung pengumuman syarikat tersebut yang berhasrat melaksana projek berkenaan.
Katanya, pihaknya hanya mengetahui dan mendengar pengumuman itu menerusi laporan berita, namun, belum ada makluman terperinci mengenainya setakat ini.
“Cuma untuk kereta api Trans Borneo yang dimaklumkan Kementerian Pengangkutan Malaysia akan membuat kajian kebolehlaksanaan dahulu pada tahun ini,” katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu hari ini.
Katanya, kerajaan Sabah setakat ini ada menerima beberapa cadangan daripada pelbagai pihak termasuk dari China dan India untuk perancangan jaringan kereta api namun ia masih di peringkat awal.
“Buat masa ini Jabatan Keretapi Negeri Sabah lebih tertumpu untuk melihat kajian kebolehlaksanaan mewujudkan semula laluan daripada Tanjung Aru-Sembulan ke Pelabuhan Sepanggar.
“Itu yang menjadi keutamaan kami dan seterusnya melihat secara lebih umum konsep rangkaian perjalanan kereta api dari pantai barat kepada pantai timur. Bagaimanapun itu semua bergantung kepada (keputusan) kajian kebolehlaksanaan dan skala ekonomi,” katanya.
Pada November tahun lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya menerima cadangan peringkat awal mengenai projek TBR.
Katanya, ia merupakan cadangan Kementerian Pengangkutan dan kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan bagi mengkaji lebih terperinci mengenai perkara itu.
































