SHAH ALAM: Seorang pengarah syarikat kayu balak yang mendakwa pemilik bagasi berisi wang RM500,000 di sebuah pusat beli-belah di Damansara tampil memberi keterangan kepada polis semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki yang hadir selepas pukul 5 petang itu mendakwa tidak menyedari bagasi diambil dari rumah rakannya di atas premis berkenaan tidak dimasukkan ke dalam kenderaannya.
Jelas beliau, bagasi itu diambil dari rumah rakan yang mahu memulangkan wang itu selepas dipinjamkan bagi pelaburan tahun lalu.
“Individu itu mendakwa dia sudah membawa masuk bagasi berkenaan bersama sebuah lagi beg ke dalam kereta dan terus pulang ke rumah.
“Namun, dia yang mahu mengambil bagasi berisi wang itu mendapati ia tiada di dalam kereta,” katanya ketika dihubungi petang ini.
Tambah Hussein, individu itu bagaimanapun tidak membawa sebarang rekod bukti yang mengatakan wang berkenaan milik syarikatnya.
“Siasatan mengenai tuntutan itu masih diteruskan polis setakat ini. Individu itu perlu datang semula bagi memberi keterangan lanjut termasuk sumber wang tersebut,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang pengawal keselamatan menemui beg bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000, kira-kira pukul 8 pagi, 20 Mac lalu.
Pemeriksaan ke atas beg bersaiz sederhana berwarna merah jambu dan putih itu mengandungi wang kertas RM50 dan RM100.
Polis menerima laporan daripada seorang pengarah syarikat teknologi maklumat berusia lewat 40-an yang mendakwa wang itu milik syarikat mereka.
Namun, pengadu sebelum ini tidak hadir memberikan keterangan selepas seminggu membuat laporan polis berkenaan.
































