KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Pakistan ditahan kerana disyaki menyimpan 108 kilogram gula pasir di tempat yang tidak dilesenkan di Likas, di sini, hari ini. (Gambar)
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah, Georgie Abas berkata, saspek yang berusia 30 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Sabah yang menjalankan Ops Tiris berikutan maklumat awam ke atas taman perumahan di Likas.
Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan sekitar jam 10.27 pagi itu mendapati sebuah kereta pacuan empat roda jenis Mitsubishi berada dalam pagar sebuah rumah memuatkan gula pasir.
“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan oleh anggota penguat kuasa KPDN Sabah terhadap kenderaan terbabit telah menemui sebanyak 108 kilogram gula pasir di bahagian belakang kereta tersebut tanpa sebarang dokumen yang sah dan pemilik juga tidak mempunyai lesen atau permit untuk menyimpan gula pasir di tempat tersebut.

“Sehubungan itu, penguat kuasa KPDN Sabah telah mengambil tindakan dengan menahan seorang lelaki warga Pakistan yang disyaki pemilik untuk siasatan lanjut.
“Sebanyak 108 kilogram gula pasir telah disita bersama kenderaan. Nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM 50,307.80,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Gula pasir yang ditemukan itu merupakan gula biasa yang dikawal harga pada RM2.85 sekilogram, kata Georgie, sambil menambah kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
“Seseorang, selain dari badan korporat, tetapi termasuk pengarah atau pegawai sesuatu badan korporat, yang melakukan suatu kesalahan terhadap terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM1,000,000 atau tidak melebihi tiga tahun penjara atau kedua-duany. Manakala bagi mana-mana badan korporat yang melakukan suatu kesalahan terhadap Akta Kawalan Bekalan 1961, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM2,000.000,” jelasnya.

Beliau berkata, KPDN Sabah ketika ini sedang giat menjalankan pemeriksaan dalam usaha mengekang ketirisan dan aktiviti penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi.
KPDN Sabah akan terus komited dan konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN, khususnya melibatkan penyelewengan barang kawalan bersubsidi yang merupakan salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga, tambahnya.
Beliau menyarankan masyarakat pengguna untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat-maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.
Katanya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan untuk bersama-sama membanteras aktiviti ini daripada terus berlaku dan dapat mengelakkan berlakunya ketirisan subsidi Kerajaan melalui saluran-saluran seperti berikut:
i) Aplikasi WhatsApp ke 019-279 4317 / 019-848 8000
ii) Portal Aduan: e-aduan@kpdn.gov.my;
iii) Call centre 1 800 886 800;
iv) Emel ke e-aduan@kpdn.gov.my;
v) Aplikasi telefon pintar Ez Adu KPDN.


































