Lebih 95 peratus tenaga Singapura dijana daripada pembakaran gas asli.
SINGAPURA: Singapura tidak menolak kemungkinan memilih tenaga nuklear untuk mengurangkan pelepasan daripada sektor kuasanya dan sedang mengkaji keselamatan penggunaannya di kawasan kecil dan padat penduduk.
Menurut Utusan Malaysia, The Straits Times melaporkan, pasukan daripada agensi kerajaan seperti Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) mengadakan lawatan ke negara seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Jerman untuk mendapatkan nasihat organisasi antarabangsa dan rakan kongsi mengenai tenaga nuklear.
Jurucakap EMA berkata, Singapura sedang mengkaji serta membina keupayaan untuk lebih memahami implikasi keselamatan menggunakan teknologi sedemikian di negara kecil dan berpenduduk padat.
“Ini memandangkan kerumitan teknikal dan perkembangan berterusan dalam tenaga nuklear termaju dan teknologi gabungan.
“Usaha tersebut termasuk melibatkan organisasi dan rakan kongsi antarabangsa untuk memperdalam pemahaman kami tentang teknologi nuklear yang berkembang dan memudahkan perkongsian maklumat.
“Organisasi ini termasuk Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang menggalakkan penggunaan teknologi nuklear yang selamat, terjamin dan aman; Pihak Berkuasa Tenaga Atom UK, yang menyelidik tenaga gabungan dan Institut Max Planck di Jerman.
Jelas EMA, Singapura juga bekerjasama dengan jiran serantau melalui platform ASEAN untuk membina keupayaan rantau ini dalam keselamatan dan kesediaan nuklear serta isu berkaitan tindak balas kecemasan.
“Sebagai negara yang kekurangan tenaga, Singapura mempunyai pilihan terhad untuk penyahkarbonan. Untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, campuran bekalan elektrik Singapura perlu berkembang dalam dekad akan datang.
“Pada masa ini, kira-kira 95 peratus tenaga Singapura dijana daripada pembakaran gas asli dan bahan api fosil. Pelepasan daripada sektor ini membentuk kira-kira 40 peratus daripada jumlah pelepasan negara.
“Kita perlu mengkaji pelbagai alternatif rendah karbon seperti hidrogen, sistem geoterma dalam, biobahan api dan bentuk tenaga nuklear baharu yang berpotensi membolehkan Singapura menyahkarbonkan sektor kuasa dalam jangka panjang,” tambah EMA.


































