Terowong perlindungan bom era perang dunia kedua yang ditemukan di belakang sebuah kediaman di Folkestone, UK.
LONDON: Penduduk sebuah kawasan kediaman di United Kingdom (UK) teruja dengan penemuan tempat perlindungan bom bawah tanah Perang Dunia Kedua di halaman belakang rumah mereka.
Lokasi khazanah sejarah itu ditemukan pasangan Rebecca dan Darren Hobson yang tinggal di sebuah kampung berhampiran Folkestone di daerah Kent sejak kira-kira 15 tahun lalu.
Rebecca turut berkongsi gambar dan video penemuan luar biasa itu di media sosialnya yang tular dan mendapat perhatian ramai warga net baru-baru ini.
Menurut Utusan Malaysia, New York Post melaporkan, Rebecca, 34, mengakui diberitahu tentang kawasan tempat perlindungan sepanjang 48.76 meter itu oleh jiran mereka semasa pandemik Covid-19 pada tahun 2020.
Tetapi Rebecca tidak pernah meninjau kawasan itu sehinggalah beberapa hari lalu dia cuba menggali terowong gergasi itu dengan mengalihkan tapak turapan bersama Darren.
“Ketika kami berpindah ke rumah ini, kami tidak tahu tentang kewujudan tempat perlindungan zaman perang di halaman belakang rumah kami. Namun sejak beberapa tahun lalu ramai jiran-jiran yang datang memberitahu tentangnya.
“Kami masih cuba menggali sejarahnya dan jelas ia sangat menarik. Kawasan penghujungnya sudah ditutupi batu, jadi satu-satunya jalan keluar masuk adalah melalui taman kami.
“Keratan akhbar lama nampaknya mendedahkan ruang itu bertujuan untuk melindungi orang awam terutamanya wanita dan kanak-kanak daripada serangan udara serta kekejaman Hitlerisme ketika Perang Dunia Kedua,” kata Rebecca.
Video penemuan terowong tersebut mendapat perhatian ramai warga net yang mahu kawasan itu dipulihara bagi tujuan serupa jika berlaku peperangan di era baharu berikutan keadaan keselamatan dunia yang semakin tidak menentu.


































