Kadar obesiti dalam kalangan orang dewasa meningkat lebih dua kali ganda.
LONDON: Satu kajian baharu mendedahkan lebih satu bilion orang di seluruh dunia mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti.
Jumlah itu menunjukkan satu daripada lapan individu kini hidup dengan obesiti.
Menurut Utusan Malaysia, Daily Mail melaporkan, kira-kira 159 juta kanak-kanak dan remaja serta 879 juta orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan berbanding ketinggian mereka yang mengklasifikasikan golongan itu sebagai obes.
Pasukan penyelidik mendapati kadar obesiti dalam kalangan anak muda meningkat empat kali ganda di seluruh dunia antara tahun 1990 dan 2022.
“Manakala, kadar obesiti dalam kalangan orang dewasa meningkat lebih dua kali ganda,” jelasnya.
Selain itu, menurut kajian, kadar kurang berat badan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja menurun, dan mencecah lebih separuh bagi orang dewasa di seluruh dunia.
Ia bermakna obesiti kini merupakan bentuk malnutrisi yang paling biasa di kebanyakan negara.
Dilaporkan, kajian itu diterbitkan dalam jurnal perubatan Lancet.
Ketua Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan Britain (NHS) menyifatkan data itu sebagai membimbangkan, serta memberi amaran masalah kesihatan itu akan memberi tekanan kepada perkhidmatan.
Pengarang kanan kajian, Profesor Majid Ezzati menyuarakan kebimbangan masalah obesiti yang jelas dalam kalangan orang dewasa di kebanyakan negara sejak 1990, kini turut dialami oleh kanak-kanak dan remaja.
“Pada masa sama, ratusan juta individu masih terjejas akibat kekurangan zat makanan khususnya di beberapa negara paling miskin di dunia.
“Bagi mengatasi kedua-dua bentuk malnutrisi, kita perlu meningkatkan kemampuan menyediakan makanan yang sihat dan berkhasiat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, kajian baharu itu menekankan kepentingan mencegah dan mengurus obesiti dari awal kehidupan sehingga dewasa melalui diet, aktiviti fizikal dan penjagaan yang mencukupi.






























