Mohd. Zaidi Abdullah
KOTA KINABALU: Gara-gara pelanggaran bahu, sembilan lelaki ditahan akibat merusuh di sebuah kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di sini semalam.
Tangkapan itu dibuat pada pukul 3.30 pagi susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa mengenai kejadian merusuh di sebuah kilang di KKIP pada petang Isnin.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, tangkapan itu membabitkan empat lelaki tempatan dan lima lelaki warga China yang ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 10.22 malam, Isnin berkaitan kejadian merusuh di sebuah kilang di KKIP Timur pada pukul 5.30 petang.
“Pengadu menyatakan dia telah ditumbuk sehingga cedera ringan di kedua-dua belah lutut oleh seorang lelaki warga China semasa berlaku pergaduhan antara pengadu dan suspek.
“Siasatan awal mendapati pergaduhan membabitkan pekerja kilang itu dipercayai berpunca daripada seorang pekerja China yang didakwa melanggar bahu seorang lagi pekerja tempatan ketika pekerja berbaris untuk mendaftar keluar menggunakan mesin pengimbas cap jari selepas tamat waktu bekerja.
“Salah seorang suspek warga china melanggar bahu seorang pekerja tempatan namun ia tidak langsung diendahkan dan tiba-tiba seorang pekerja China lain menjerit dan menunding jari ke arah pekerja tempatan terbabit sebelum mengajaknya keluar untuk bergaduh di luar kawasan kilang sambil memegang sebatang kayu.
“Namun, pekerja tempatan terbabit sekali lagi tidak mengendahkan ajakan pekerja asing berkenaan namun sebaik sahaja berada di luar kilang, mangsa tiba-tiba ditumbuk dari belakang,” katanya.
Tindakan itu meyebabkan keadaan bertukar menjadi huru hara apabila ia disertai lebih ramai individu.
Menurut Mohd. Zaidi, pergaduhan berjaya dileraikan oleh pengawal keselamatan serta para pekerja kilang lain.
Video mengenai pergaduhan dua kumpulan pekerja kilang itu ditularkan dalam laman media sosial sejak semalam.


































