Anwar Ibrahim ketika menzahirkan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Ke-17 di Parlimen semalam. – Jabatan Penerangan
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim membantah sikap ahli Parlimen pembangkang yang keluar dewan ketika beliau selaku Ketua Majlis Parlimen menzahirkan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17 di samping merafak sembah tahniah dan terima kasih atas khidmat Sultan Pahang.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, beliau sepatutnya menyampaikan ucapan tersebut dalam sesi pagi tadi namun meminta kebenaran Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul agar dibuat pada pukul 2.30 petang memandangkan menerima lawatan kerja Perdana Menteri Kemboja di Putrajaya.
“Usul ini mengikut Perkara 14 (1), ini mengambil perkara yang didahulukan, jika kita hendak berterima kasih kepada mantan Yang di-Pertuan Agong setelah akhir sidang, itu tidak munasabah jadi sepatutnya pagi tadi.
“Tetapi pembangkang untuk menunjukkan satu sikap yang tidak sopan dan menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong. Mereka boleh bantah proses, tetapi kita mempertahankan proses dan Yang Dipertua (Dewan Rakyat) telah buat keputusan,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Terdahulu, ahli-ahli Parlimen membantah penerangan menteri kerana menyifatkan proses itu tidak mengikut Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bangun menyatakan bahawa sesi itu didahulukan sebelum perbahasan titah diraja bermula.
Ahli-ahli Parlimen pembangkang kemudian keluar Dewan Rakyat apabila membantah keputusan Johari membenarkan Perdana Menteri memberi ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan terima kasih kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menurut Anwar, sikap pembangkang itu menunjukkan mereka masih tidak memahami titah Sultan Ibrahim semalam yang menegur ahli Parlimen supaya menjaga sikap dan tatatertib.
“Ini masalah di negara ini, setelah dengar titah tuanku tetapi tidak faham, kerana dendam kesumat dan cemburu buta.
“Mengapa saya beri keutamaan, sekali lagi saya tegaskan tiada kaitan dengan titah diraja, ini tanggungjawab dewan setelah dilantik Yang di-Pertuan Agong, kita hantar penghargaan, setelah pemergian Agong lalu, kita ucapkan terima kasih atas sumbangan, itu sahaja,” katanya.
Mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa kerajaan merangka titah diraja, Anwar berkata, ada ruang untuk titah itu ditambah meskipun mengandungi perkara dan dasar kerajaan.
“Ketua Pembangkang cakap titah diraja kita buat, saya nak tegur dia, kerana seperti mana kita tahu titah diraja seperti titah diraja (sebelum ini) walaupun perkara pokok seperti dasar, masih duduk (di bawah) cadangan kerajaan,” katanya.


































