Perbincangan Bank Negara Malaysia dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan dijangka berupaya mengukuhkan kembali nilai ringgit. – Gambar Hiasan
PETALING JAYA: Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) digalak meningkatkan aliran masuk ke dalam pasaran pertukaran asing bagi mengukuhkan nilai ringgit.
Menurut Utusan Malaysia, Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ringgit pada masa ini terkurang nilai (undervalued).
Kata beliau, memandangkan asas dan prospek ekonomi Malaysia adalah positif, ringgit sewajarnya didagangkan pada tahap yang lebih tinggi.
“BNM telah meningkatkan perbincangan dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat korporat dan pelabur untuk menggalakkan aliran masuk yang berterusan ke dalam pasaran pertukaran asing,” katanya dalam kenyataan.
Dalam dagangan awal pagi semalam, ringgit menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Pada pukul 9.05 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.7775/7805 berbanding dolar AS daripada 4.7750/7795 semasa ditutup kelmarin.
Mengulas isu berkenaan, penganalisis ekonomi berkata, ringgit sepatutnya berada tidak kurang dari RM4.50 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) atau lebih baik, berdasarkan ekonomi negara semasa terutama sektor domestik yang begitu ampuh.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ekonomi negara ampuh walaupun eksport semakin menurun dan lebihan dagangan semakin mengecil setiap bulan.
Katanya, BNM memerlukan kerjasama GLIC dan GLC untuk menukarkan pegangan mata wang asing mereka sama ada hasil pelaburan mahupun hasil ekspot kepada ringgit.
“Sekiranya ia berjaya dilaksanakan, pasti akan membantu menguatkan kembali ringgit dan menghentikan penurunan nilai ringgit pada waktu ini.
“Konsultasi bersama perlu dilakukan kerana semua kepimpinan tertinggi GLC dan GLIC terikat dengan mencapai sasaran utama indeks prestasi utama (KPI) iaitu membuat keuntungan yang terbaik.
“Ini seperti yang disasarkan kerajaan sebagai pemegang taruh dan keuntungan daripada pertukaran mata wang asing iaitu pegangan mata wang asing adalah antara sumber penting kepada pencapaian sasaran keuntungan masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Aimi Zulhazmi berkata, dengan mendapat persetujuan antara BNM, GLIC dan GLC, maka ia dapat diketengahkan kepada kerajaan untuk kelulusan yang seimbang dalam bentuk menang-menang, dengan sasaran keuntungan boleh dicapai dan ringgit boleh diperkukuhkan semula.
“Dari pertemuan itu juga, mungkin akan menyusun strategi untuk menarik pelaburan ke dalam negara berbanding strategi melabur di luar negara oleh GLC dan GLIC,” ujarnya.
Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob pula berkata, perbincangan BNM dengan GLIC dan GLC mungkin untuk mengesa mereka melabur lebih banyak dalam negara berbanding di luar negara.
Menurutnya, ia akan menaikkan pengeluaran dalam sektor ekonomi yang akan dapat memenuhi barangan keperluan dan mengurangkan kadar import, seterusnya memberi kesan kepada aliran ringgit ke luar negara.
“Dengan melabur dalam negara seperti sektor pengilangan, pembuatan dan sektor pertanian, akan menambah pengeluaran bahan keperluan harian seperti beras dan jagung. Ia akan mengurangkan import dan pengaliran ringgit ke negara luar,” ujarnya.
Tambah beliau, langkah lain yang boleh dilakukan BNM untuk mengukuhkan ringgit adalah melalui intervensi kepada pasaran pertukaran asing dengan menambat ringgit.


































