Seorang lelaki dan perempuan ditemukan maut dalam kereta berkunci di tempat letak kereta sebuah stesen minyak di Jalan Segamat-Kuantan.
ROMPIN: Identiti dua mangsa masing-masing lelaki dan perempuan yang ditemukan meninggal dunia dalam kereta di sebuah stesen minyak di Muadzam Shah di sini semalam dikenal pasti.
Mangsa lelaki yang merupakan pemandu kereta dikenal pasti sebagai Rohashidi Abron, 41, berasal dari Muadzam Shah di sini.
Seorang lagi mangsa yang merupakan rakan pemandu kereta dikenal pasti sebagai Norlina Seeron, 43, berasal dari Jempol, Negeri Sembilan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Rompin, Deputi Superintenden Nor Azman Yusof, berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.
“Punca kematian kedua-dua mangsa belum diketahui dan polis masih menunggu laporan kimia untuk analisa toksikologi,” katanya di sini hari ini.
Sebelum itu, Nor Azman berkata, anggota petugas kaunter aduan Balai Polis Muadzam Shah menerima panggilan telefon daripada kakitangan stesen minyak memaklumkan penemuan mayat lelaki dan perempuan dalam kereta, semalam.
“Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa memandu dan meletakkan kenderaan di kawasan parkir stesen minyak tersebut pada Isnin lalu sekitar pukul 6.52 pagi.
“Mangsa dilihat tidak keluar daripada kenderaan tersebut,” ujarnya yang turut memberitahu hasil siasatan di lokasi kejadian juga mendapati tiada unsur-unsur jenayah yang menyebabkan kematian kedua-dua mangsa.


































