Dua tertuduh yang juga pasangan suami isteri ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
PETALING JAYA: Sepasang suami isteri yang terlibat dalam insiden tersilap membancuh susu anak lelaki mereka berusia 16 bulan menggunakan cecair syabu, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, dalam prosiding itu, tertuduh wanita berusia 34 tahun mengaku bersalah namun suaminya 40 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan pindaan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.
“Saya mengaku bersalah, tapi saya tidak sengaja puan (beri minum susu mengandungi dadah),” kata wanita itu.
Bagaimanapun mahkamah menetapkan 13 Mac ini bagi fakta kes dan menjatuhkan hukuman terhadapnya.
Mengikut pertuduhan suami isteri itu didakwa bersama-sama melakukan penganiayaan terhadap anak lelaki mereka berusia setahun empat bulan dengan memberi minum air susu bercampur dengan air yang mengandungi dadah jenis Methamphetamine (syabu) sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami `allegedsympathomimetic drug ingestion’.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit pangsapuri di Taman Medan di sini pukul 6 petang pada 19 Februari lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin mencadangkan ikat jamin RM15,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan atau perkara lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Bagaimanapun, wanita itu yang tidak diwakili peguam merayu jumlah ikat jamin itu dikurangkan kerana dia tidak bekerja malah anak-anaknya masih memerlukannya di rumah.
Sementara, suaminya yang merupakan peniaga air balang merayu perlu menanggung anak-anak yang masih bersekolah, termasuk menjaga ibu bapanya.
Selepas mendengar permohonan daripada semua pihak, Syahliza membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
“Mereka juga perlu memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan dan tidak boleh mengganggu saksi-saksi, sehingga kes ini selesai.
“Mahkamah menetapkan 13 Mac ini untuk fakta dan hukuman bagi tertuduh wanita dan tarikh sama bagi sebutan kes suaminya,” kata hakim itu.
Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki dikejarkan ke hospital selepas ibunya tersilap membancuh susu menggunakan cecair syabu dalam kejadian di Taman Medan, di sini, 19 Februari lalu.
Menurut polis, pihaknya menerima maklumat tersebut dari pihak Hospital Kajang, keesokan harinya.
Siasatan awal mendapati pada hari kejadian kanak-kanak berusia satu tahun empat bulan ketika itu berada di bawah jagaan neneknya yang berusia 55 tahun di Seri Kembangan.
Semasa dalam jagaan neneknya, mangsa tidak berhenti menangis, terlalu aktif dan sukar dikawal. Wanita itu kemudian bertanyakan punca tingkah laku pelik cucunya kepada ibu mangsa.
Ibu mangsa yang berusia 34 tahun mengaku tersilap membancuh susu menggunakan air syabu milik suaminya yang berusia 40 tahun.


































