Nga Kor Ming (dua, kiri) meninjau Taman Awam Kuala Kerteh di Kemaman, hari ini.
KEMAMAN: Sebanyak 60 buah taman awam dibina Jabatan Landskap Negara (JLN) di seluruh negara sehingga Disember tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, daripada jumlah itu, sebanyak empat buah taman awam dibina di negeri ini termasuk Taman Awam Batu Buruk dan Taman Awam Lagun Kuala Ibai di Kuala Terengganu serta Taman Awam Teluk Gadung di Dungun.
“Sebuah lagi taman awam yang berjaya disiapkan pada hujung Oktober tahun lalu adalah Taman Awam Kuala Kerteh yang bernilai hampir RM17 juta.
“Kerajaan terus berusaha mewujudkan kawasan persekitaran kehidupan yang kondusif untuk masyarakat awam yang mana persepsi tentang landskap yang hanya bersifat estetik semata-mata dalam kalangan masyarakat perlu diubah kerana landskap dilihat sebagai satu keperluan pada masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Taman Awam Kuala Kerteh, di sini, hari ini.
Kor Ming berkata, Taman Awam Kuala Kerteh menjadi taman awam pertama dan terbesar di Kemaman dengan keluasan hampir sembilan hektar yang dapat memberi manfaat kepada 226,000 penduduk di daerah ini.
Menurutnya, komponen pembangunan taman awam tersebut terdiri daripada dewan terbuka, menara pandang, alatan permainan kanak-kanak, laluan pejalan kaki dan jambatan.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM56.81 juta untuk pelaksanaan projek landskap menerusi Rancahgan Malaysia Ke-12 (RMK12) di negeri Terengganu.
“Antara projek lain yang sedang dibangunkan ialah Projek Landskap Perbandaran Dungun yang bernilai RM30 juta dan Projek Pemuliharaan Kunang-Kunang Sungai Yak Yah di Kemaman yang bernilai RM5.31 juta,” katanya.
Pada majlis tersebut, Kor Ming turut menyampaikan peruntukan sebanyak RM12.32 juta kepada negeri Terengganu untuk projek-projek kecil tahun 2024 membabitkan kerja pembinaan taman awam, pelan induk landskap, landskap perbandaran serta pemuliharaan dan pemulihan landskap.


































