Ramli Mohamed Yoosuf
PETALING JAYA: Tawaran pelaburan patuh syariah menggunakan personaliti tertentu semata-mata tanpa mengetahui perniagaan yang dijalankan, 90 peratus dikhuatiri penipuan.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, modus operandi yang digunakan adalah dengan berkongsi beratus testimoni daripada pelabur tertentu beserta gambar timbunan wang dan emas kononnya hasil pulangan keuntungan pelaburan dianjurkan.
Kata Ramli, sindiket penipuan itu kemudiannya akan menyakinkan mangsa dengan mengatakan pelaburan dibuat adalah patuh syariah sehingga mangsa-mangsa terperdaya.
“Masyarakat perlu tahu, jangan mudah percaya gambar duit yang mana-mana syarikat atau individu tunjuk di dalam media sosial kononnya hasil pelaburan. Itu hanya taktik sindiket mengaburi mangsa.
“Bukan setakat itu, ada yang ‘claim’ pelaburan yang ditawarkan pula patuh syariah walhal tiada mana-mana agensi berkuasa yang memberi pengesahan. Jika ada pun, kita sebagai pelabur perlu tahu apa asas utama pelaburan itu patuh syariah dan benar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lebih lanjut, Ramli berkata, pihaknya sedia menjalankan siasatan kepada sesiapa sahaja termasuk mereka yang menggunakan individu tertentu bagi menawarkan pelaburan patuh syariah sehingga menyebabkan ramai mangsa kerugian jutaan ringgit.
Beliau menegaskan, siasatan boleh dijalankan berdasarkan apa sahaja laporan yang diterima pihaknya dalam apa jua bentuk penipuan.
“Justeru itu, kita (polis) sangat mengalakkan mereka yang diperdaya oleh mana-mana syarikat atau individu tampil membuat laporan polis supaya perkara itu boleh disiasat dengan lebih lanjut dan tindakan dapat diambil,” jelasnya.
Ramli berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan memanggil seorang individu yang namanya dimasukkan dalam senarai amaran pelaburan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk memberi penjelasan.
“Kita harap individu ini tampil, tidak perlu bimbang sekiranya apa yang dilakukannya (pelaburan) itu sah di sisi undang-undang,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial senarai nama suami kepada seorang artis wanita dimasukkan dalam senarai amaran pelaburan oleh SC.
Berdasarkan laman web Investor Alert List mendapati nama ahli perniagaan terbabit dan syarikatnya berada dalam senarai teratas.
Laman itu mengemas kini senarai aktiviti pelaburan secara tidak sah sama ada melalui entiti mahupun individu.
Menurut kenyataan di senarai itu, individu dan syarikat milik Mahadi menjalankan aktiviti pasaran modal tidak berlesen untuk berurus niaga dalam sekuriti berhubung dengan pemasaran saham Syarikat Awam Tidak Tersenarai.


































