Lu Kang bertemu Prabowo Subianto di kediamannya di Jakarta.
JAKARTA: Pakar menjangkakan calon Presiden, Prabowo Subianto akan mengambil pendirian yang lebih tegas terhadap China berhubung isu maritim jika disahkan menerajui kepimpinan negara itu.
Menurut Utusan Malaysia, perkara itu ditegaskan Penyelidik Kanan Kajian Asia Tenggara Majlis Perhubungan Luar (CFR), Joshua Kurlantzick kerana percaya Prabowo lebih mengetahui tentang keselamatan wilayah berbanding Presiden Joko Widodo (Jokowi) berdasarkan pengalaman luasnya sebagai Menteri Pertahanan.
“Prabowo berkemungkinan akan mengambil pendekatan yang lebih jitu terhadap tindakan maritim China.
“Beliau juga berupaya menjadikan Indonesia sebagai aktor keamanan yang lebih kuat di peringkat serantau dan global,” katanya.
Prabowo baru-baru ini menyatakan kebimbangannya tentang tingkah laku maritim China dengan memuji perjanjian perkongsian kapal selam tiga hala antara Australia, Britain dan Amerika Syarikat (AUKUS).
Di bawah pentadbiran Jokowi, Indonesia dianggap berlembut dengan China dalam hal maritim dan lebih memfokuskan usaha membuka peluang pelaburan bersama Beijing.
Prabowo juga percaya Indonesia berhak mendapat peranan yang lebih besar dalam institusi global.
Namun Kurlantzick berpendapat Prabowo tidak akan mengambil jalan berbeza daripada Jokowi berhubung usaha Indonesia untuk mengimbangi hubungan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
AS dan China sudah lama memperjuangkan pengaruh di rantau Indo-Pasifik dan Indonesia sering dianggap medan pertempuran ekonomi dan politik yang penting di rantau ini.
Duta Besar China ke Indonesia, Lu Kang juga merupakan antara individu terawal mengucap tahniah dan membuat kunjungan ke kediaman Prabowo selepas kiraan pantas Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 menunjukkan beliau mendahului melebihi 50 peratus undian.






























