Gage mendakwa menggunakan helah mendapatkan baucer makanan percuma selama sembilan bulan.
WASHINGTON: Seorang ahli perniagaan jutawan di Amerika Syarikat (AS) mendakwa menggunakan aplikasi ChatGPT untuk menipu McDonald’s agar restoran itu memberinya 100 makanan percuma.
Menurut Utusan Malaysia, New York Post melaporkan, pemilik syarikat All Things Arbitrage, Gage menerusi satu temubual podcast mendakwa dia mencuri resit pelanggan dari meja makan dan kaunter serta menggunakan kod unik itu untuk menghantar maklum balas kepada McDonald’s.
“Anda hanya perlu menandakan tidak berpuas hati di setiap ruangan jawapan dan kemudian menggunakan ChatGPT untuk membuat carian mengenai pengalaman buruk semasa memesan hidangan Big Mac di McDonald’s, kurang daripada 1,200 aksara.
“Salin dan tampalkannya, jika mahu kelihatan lebih nyata, anda boleh mengedit atau menambahkannya lagi. Selepas itu mengemel kepada restoran tersebut.
“Dalam tempoh 12 jam, seorang wakil akan menghantar emel kepada anda dengan menawarkan beberapa baucer makanan secara percuma,” katanya.
Gage mendakwa dia menggunakan helah mendapatkan makanan percuma itu selama sembilan bulan.
Katanya, sepanjang tempoh berkenaan, dia menerima kira-kira 100 baucer makanan percuma.
“Makanan menjadi lebih sedap apabila ia ditawarkan secara percuma,” katanya.
Ramai pengguna media sosial mengecam ahli perniagaan berusia 22 tahun itu kerana tindakan menggodam.
Selepas dikritik pelbagai pihak, Gage menjelaskan tindakan itu tidak sama sekali membahayakan mana-mana individu.
“Saya tidak menyebut sebarang nama, ini semata-mata untuk mendapatkan baucer makanan,” katanya.


































